MASYARAKAT hari ini perlu lakukan sesuatu terutama sekali mengenai
amalan gaya hidup harian kerana dalam tempoh 20 tahun akan datang
angka-angka hari ini akan bertambah sekiranya tiada perubahan
dilakukan."
Itu antara kerisauan yang diutarakan Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolisme Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin
ketika ditemui baru-baru ini di ibu negara pada majlis pembentangan
keputusan tinjauan mengenai Kesedaran Diabetes di Malaysia 2012.
Ternyata kerisauan tersebut bertepatan pada masanya kerana dalam
tempoh lima tahun iaitu antara 2006 hingga 2011, jumlah angka pesakit
diabetes yang dicatatkan meningkat sebanyak 31 peratus di mana peratusan
ini mewakili sejumlah 2.6 juta rakyat Malaysia.
Tidak hanya terhad kepada situasi itu sahaja, Dr. Nor Azmi turut
menyatakan kerisauan apabila sebanyak 33 peratus rakyat Malaysia yang
menghidap penyakit diabetes tidak pernah melakukan saringan kesihatan
malah mereka juga tidak mengetahui menghidap penyakit diabetes.
"Bayangkan mereka yang tidak pernah menjalani saringan kesihatan
angkanya hampir separuh dan bayangkan juga mereka yang menghidap
penyakit ini hidup tanpa mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit
diabetes.
"Oleh yang demikian, lakukan saringan kesihatan sekurang-kurangnya
setahun sekali terutamanya kepada mereka yang ada sejarah keluarga
menghidap penyakit tersebut.
"Lakukan segera perubahan dalam gaya hidup harian dengan banyak
melakukan senaman serta tukar corak pemakanan harian," ujarnya lagi.
Tambah Dr. Nor Azmi lagi, dijangkakan pada tahun 2020, satu daripada
empat penduduk Malaysia akan menghidap penyakit diabetes, mewakili
seramai 4.5 juta orang.
Angka turut mempengaruhi jumlah mereka yang tidak tahu mereka menghidap penyakit tersebut iaitu sebanyak 53 peratus.
Jika dipecahkan pula mengikut kaum, Melayu merupakan kaum paling
tinggi menghidap penyakit diabetes sebanyak 1.54 juta orang, diikuti
Cina (648,000 orang dan India (334,000 orang).
Kesemua jumlah ini merupakan statistik yang diperoleh sehingga tahun lalu.
Simptom
Dalam pada itu, menurut Perunding Kanan Endokrinologi di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Chan Siew Pheng,
melalui tinjauan yang dilakukan, jelas menunjukkan bahawa kesedaran
mengenai kesihatan diri tidak ada dalam kalangan masyarakat hari ini.
Ini jelas membuktikan kelakuan rakyat Malaysia yang lebih mementingkan kehidupan harian berbanding kesihatan diri masing-masing.
Katanya lagi, akibat daripada penyakit diabetes ini, pesakit-pesakit
juga akan mendapat penyakit-penyakit lain seperti sakit jantung,
serangan jantung, dan juga sakit buah pinggang.
"Untuk pengetahuan bersama, penyakit diabetes ini selain merebak
menjadi lebih kronik, juga boleh mendatangkan pelbagai penyakit lain
dalam badan.
"Oleh yang demikian, sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti
letih sepanjang masa, dahaga yang keterlaluan, kerap membuang air
kecil, kehilangan berat badan tanpa sebab, pandangan kabur, dan luka
lambat sembuh, ia menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri anda.
"Jadi, apabila anda mempunyai tanda-tanda di atas, dinasihatkan agar
segeralah pergi berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan
agar penyakit yang sedia ada dapat dirawat dan mencegah daripada
dijangkiti penyakit lain," ujarnya lagi.
Penyakit senyap
Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Feisul Mustapha pula, penyakit diabetes merupakan penyakit senyap di mana tiada tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu menghidapinya.
Selalunya, apabila seseorang pesakit itu mengetahui mereka menghidap
penyakit diabetes, penyakit ini sudah berada pada tahap tertentu dan
adakalanya pada tahap kritikal.
"Sebenarnya penyakit diabetes ini boleh dicegah dan dielak sekiranya kita sering melakukan saringan kesihatan.
"Diabetes juga sebenarnya boleh dikawal daripada terus merebak dan menjadi lebih teruk.
"Apa yang perlu dilakukan hanyalah kesedaran dalam diri masing-masing
dengan menjalani saringan kesihatan serta mengubah gaya hidup harian
anda," jelasnya lagi.
Tambah beliau, daripada tinjauan tersebut juga diperoleh data
sebanyak 57 peratus yang berisiko tinggi tidak langsung melakukan
aktiviti fizikal manakala cuma 36 peratus yang melakukan senaman.
No comments:
Post a Comment