Wednesday, November 13, 2013

BAHAYA KANSER MULUT


Tanda-tanda kanser mulut boleh bermula dengan ulser yang mungkin tidak sakit tetapi berterusan lebih tiga minggu.- Gambar hiasan 
 
TAHUKAH anda ulser mulut yang tidak sakit sebenarnya berbahaya? Ini merupakan tanda awal kanser mulut yang tidak disedari pesakit itu sendiri. 

Bukan itu sahaja, penggemar sirih turut dinasihatkan menghentikan tabiat mengunyah daun itu kerana mampu meningkatkan risiko kanser mulut. 

Ya, walaupun kanser mulut bukanlah antara penyakit yang tergolong dalam kategori penyakit kronik, namun jika dilihat kepada sejarah, masyarakat di Asia ialah mereka yang paling berisiko kerana kaitannya dengan tabiat memakan sirih, merokok dan juga kesan daripada alkohol.

Kanser mulut adalah penyakit malignan yang meliputi bibir, lantai mulut, bahagian dalam pipi, lidah dan gusi. Lebih 90 peratus kes barah mulut membabitkan lapisan luar mukosa mulut yang dikenali sebagai karsinoma sel skuama.


Menurut Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Dr. Siti Mazlipah Ismail, sama seperti kanser lain, pengesanan awal sebenarnya dapat menyelamatkan nyawa pesakit.

Tambah Dr. Siti Mazlipah, pada peringkat ini rawatan awal masih boleh dijalankan untuk mencegah kanser daripada merebak. 

"Kebanyakan pesakit yang menghidap kanser mulut ialah kaum India kerana dikaitkan dengan tabiat mengunyah sirih.

"Pada awalnya, kanser mulut itu tidak sakit tetapi oleh kerana fungsi mulut adalah untuk mengunyah, merasai dan bertutur serta memberi kesan kepada satu daripada saluran awal pernafasan, menyebabkan fungsi-fungsi biasa yang normal di dalam mulut terganggu," ujarnya yang ditemui sempena kempen Bulan Kanser Mulut yang akan disambut pada 17 November ini di Taman Rekreasi Bukit Jalil, Kuala Lumpur mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya kanser mulut. Dalam pada itu, pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti program saringan kanser oral, pameran dan ceramah mengenai kesihatan mulut.

"Biar apa pun rawatan kepakaran yang boleh membantu, mengenali tanda-tanda awal kanser mulut memberi peluang terbaik untuk rawatan.

"Kanser mulut juga boleh menyerang golongan muda walaupun mereka tidak merokok, mengunyah sirih atau minum arak. Pun begitu, punca utama senario ini berlaku masih tidak diketahui.

"Tanda-tanda kanser mulut boleh bermula dengan ulser yang mungkin tidak sakit tetapi berterusan lebih tiga minggu, gigi yang mungkin nak patah tetapi tiada tanda sakit gusi dan bengkak pada leher.

"Apabila kanser ini menjadi lebih serius, pesakit akan mengalami luka yang besar hingga makan saraf, susah mengunyah, membuka mulut dan bertutur, mulut berdarah serta ketumbuhan dalam mulut (susah telan pepejal, air liur)," ujarnya.

RawatanMengulas tentang rawatan kanser mulut, beliau memberitahu, pesakit akan menjalani pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.

Dr. Siti Mazlipah menjelaskan pembedahan biasanya membabitkan pembuangan kanser dan sebahagian tisu yang sihat di sekelilingnya. Ini kerana barah adalah penyakit yang mikroskopik iaitu ada sel kecil tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

"Ada kemungkinan sel kecil tidak dapat dilihat di sekitar sempadan kanser itu. Pembedahan membabitkan sel yang sihat ini turut membuang nodul limfa pada bahagian leher yang dijangkiti kanser.

"Pembedahan biasanya dilakukan untuk merawat kanser yang berada pada tahap awal dan sederhana dengan pembuktian tiada sel kanser merebak ke bahagian organ lain.

"Bagaimanapun, bagi jenis kanser yang merebak jauh pada kawasan lain tubuh, penggunaan radioterapi digunakan selepas pembedahan. Ini bertujuan mematikan sel kanser yang dikhuatiri masih tertinggal," katanya.

Selain itu, penggunaan radioterapi akan dilakukan jika kanser terlalu besar menyebabkan pembedahan sukar dilakukan. Kaedah ini juga membantu mengecutkan kanser. Bagaimanapun, radioterapi mempunyai banyak kesan sampingan yang harus dijalani oleh pesakit.

Orang ramai perlu tahu bahawa radioterapi tidak menyebabkan seseorang kehilangan anggota (lidah) dan fungsinya. 

Tambahnya, pesakit mungkin hilang keselesaan pada mulut selepas radioterapi kerana tidak dapat membuka mulut dengan luas. Dalam pada itu, kaedah kemoterapi digunakan jika kanser sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru dan hati, atau serentak dengan radioterapi.

Dr. Siti menasihatkan agar pesakit tidak takut menjalani rawatan ini kerana kesan ubat-ubatan mungkin berbeza dengan rawatan kemoterapi kanser lain.

No comments: