Saturday, November 9, 2013

BAHANA MAKANAN TERCEMAR


Peralatan pisau dan papan pemotong juga sepatutnya berasingan antara makanan mentah dan yang sudah dimasak. Seterusnya ialah penggunaan bekas yang berbeza bagi mengelak daripada berlakunya pencemaran bersilang. - gambar hiasan.
 
SEPANJANG minggu ini, anda masih lagi berada dalam suasana kemeriahan menyambut Aidiladha dan memenuhi undangan majlis kahwin. Sambil meneruskan tradisi saling mengunjungi, ketika inilah kesempatan turut diambil untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan tersedia.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah bahaya yang mungkin menjelma jika tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan.

Ini kerana, keracunan makanan khususnya pada musim perayaan boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.

Kes keracunan terbaru membabitkan kematian empat tetamu yang menikmati juadah pada majlis kahwin sepasang pengantin baharu di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Yan, Kedah pada 28 September lalu. 

Dalam pada itu, 270 tetamu yang lain ditahan di beberapa buah hospital berdekatan kerana masalah yang sama setelah menikmati lauk kenduri yang dihidangkan. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr. Ismail Abu Taat berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati bekalan ayam mentah yang digunakan sebelum itu tidak disimpan dengan baik dan hanya dibiarkan dalam keadaan suhu bilik.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan ayam berkenaan dicemari bakteria.

Punca

Kes ini sebenarnya membuka mata orang ramai tentang bahana makanan tercemar dan tidak lagi mengambil mudah tentang masalah keracunan makanan. 

Menurut Pakar Gastroentrologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Dennis Khoo Yeap Teng, Keracunan makanan adalah kejadian normal. Keracunan makanan menyebabkan gangguan gastrousus kepada seseorang setelah mengambil makanan atau minuman yang tercemar.

“Makanan dikatakan tercemar apabila ia mengandungi bahan-bahan tidak sepatutnya seperti kuman patogen yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti bakteria, fungsi (kulat dan yis), parasit serta virus.

“Antara makanan yang mudah dicemari oleh bakteria, keju, mentega, daging burger, susu, telur, daging, ayam dan hasil laut," katanya. Agen-agen lain adalah toksin atau kimia beracun (seperti racun serangga, racun rumpai, bahan pencuci kimia, aditif makanan seperti pengawet berlebihan)," katanya.

Oleh itu, orang ramai perlu mengesan tanda atau gejala awal masalah ini.

Tambah Dr. Dennis, biasanya mangsa akan mula mengalami muntah-muntah, sakit perut, cirit-birit, rasa loya, sakit kepala dan demam (berpeluh).

“Mereka yang mengalami gejala tersebut, perlu mendapatkan rawatan segera kerana sebarang kesilapan boleh memungkinkan risiko maut.

Pun begitu, beliau menjelaskan kes kematian akibat keracunan makanan adalah jarang berlaku dan boleh dielakkan.

Rawatan

Bagi memastikan keracunan makanan tidak berlaku, Dr. Dennis menasihatkan orang ramai mengutamakan kebersihan.

“Caranya mudah iaitu membersihkan tangan dengan bersih sebelum menyentuh makanan dan membasuh tangan selepas menggunakan tandas.

“Peralatan makanan juga perlu sentiasa bersih agar tiada kuman yang masih aktif. Kawasan penyediaan makanan juga harus bersih daripada sebarang kekotoran," katanya.

Tambah Dr. Dennis, bagi keracunan ringan, pesakit digalakkan mengambil garam rehidrasi yang dilarutkan ke dalam air untuk menampung kehilangan cecair tubuh.

“Minuman isotonik antara penyelesaian segera yang boleh dicuba. Jika muntah sedikit, biarkan sahaja kerana ia mengeluarkan kuman dan racun.

“Jika muntah berterusan, pesakit akan diberikan ubat tahan muntah. Selalunya keracunan ringan akan reda dengan sendirinya dalam masa sehari dua.

“Jika melarat, pesakit mungkin terpaksa ditahan di hospital untuk dimasukkan garam salina dan glukos melalui rehidrasi intravena yang disuntik ke dalam pembuluh darah," ujarnya.

Tambah beliau, keracunan makanan boleh menyebabkan komplikasi kehilangan cecair badan ketara akibat muntah dan cirit-birit hingga menyebabkan dehidrasi atau tubuh kontang teruk. Ini seterusnya akan menurunkan tekanan darah (tekanan darah rendah), kegagalan buah pinggang, renjatan dan koma yang boleh menjurus kepada kematian.

Di samping itu, kehilangan garam kalium yang terlalu banyak daripada tubuh mengakibatkan kekejangan otot termasuk jantung, sawan dan juga koma. Komplikasi lain termasuk septisemia di mana kuman masuk ke dalam darah dan merebak ke seluruh badan.

Amalkan ‘lihat, hidu, rasa’
 
Orang ramai turut dinasihatkan mengamalkan tiga langkah keselamatan: lihat, hidu, rasa sebelum menikmati makanan terutama pada majlis tertentu, premis makanan dan kantin sekolah.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr. Othman Warijo berkata, langkah dan kempen oleh Kementerian Kesihatan amat penting bagi mengelakkan kes keracunan makanan terutama yang membawa maut.

“Langkah ini walaupun nampak remeh tetapi masa beberapa minit mengamalkannya adalah berbaloi bagi mengelak keracunan atau kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar.

“Lihat dulu rupa fizikal makanan jika terdapat kelainan seperti kuah melekit atau sebagainya. Apabila fizikal makanan itu baik, maka hidu pula baunya jika terdapat bau basi, seterusnya rasa sedikit dan jika yakin ia segar, boleh makan atau jika sebaliknya tinggalkan makanan tersebut," katanya.

Dr. Othman memberitahu, waktu paling kritikal dan berisiko untuk bahan makanan dicemari oleh bakteria atau virus adalah sewaktu ‘holding time’ iaitu selepas dimasak hinggalah sehingga waktu untuk dimakan.

“Ini kerana makanan yang telah siap dimasak tidak semestinya dimakan dalam waktu terdekat, jika jarak waktu makanan dimasak dan dimakan adalah lama, maka risiko untuk makanan tercemar adalah sangat tinggi," katanya.

Perkara itu terjadi kerana ketika dimasak pada suhu 100 darjah Celcius atau lebih, masih ada bakteria atau virus yang kebal kepada suhu masih aktif dan jika tidak disimpan dengan betul, kuman-kuman akan membiak apabila suhu makanan semakin menurun.

No comments: