Sunday, November 13, 2016

SI MANJA SEMBELIK

Walaupun ramai ibu bapa memahami makanan bernutrisi boleh membantu menjaga si manja supaya kuat dan kurang terdedah kepada sakit, tetapi masih ada yang terlepas pandang akan kepentingan penghadaman dalam aspek itu.
Sistem penghadaman bertanggungjawab mencerna makanan supaya badan dapat menyerap nutrien. Oleh itu, penghadaman yang baik memainkan peranan penting dalam membina daya ketahanan semula jadi si manja terhadap penyakit.
Namun, sistem penghadaman bayi mengambil masa kira-kira setahun untuk menjadi matang. Oleh itu, jenis makanan dan waktu ia diberi kepada bayi boleh memberi impak kesihatan kepada sistem penghadaman mereka yang kompleks dan sensitif.
Ramai ibu bapa yang terlalu risau mengenai pergerakan usus anak dan kebimbangan ini bermula sejak anak masih bayi lagi terutama setiap kali ketika menukar lampin. Ibu bapa risau jika anak mereka mendapat masalah penghadaman seperti sembelit.
Sembelit dalam kalangan kanak-kanak adalah apabila si manja sukar atau terpaksa meneran ketika membuang najis. Si manja juga mengalami kesakitan ketika membuang najis sehingga berlaku pendarahan.

Malah, si manja juga dikatakan mengalami sembelit apabila didapati kurang membuang najis daripada biasa dan najisnya juga keras dan besar. Masalah sembelit ini jika tidak diatasi akan menyebabkan si manja sakit perut, kurang selera makan, rasa terganggu, sedih dan gelisah.
Sembelit dalam kalangan kanak-kanak ini dikatakan berpunca daripada pemberian makanan pejal di peringkat awal selepas tempoh eksklusif penyusuan badan yang mungkin tidak mengandungi cukup serat untuk melancarkan pergerakan usus.
Selain itu, kanak-kanak yang kurang minum air juga menyebabkan tubuh mereka menyerap cecair daripada sebarang sumber termasuk cecair sisa kumuh dalam usus. Namun, penyakit atau masalah kesihatan lain juga boleh menjejaskan fungsi penghadaman.
Bagi mencegah masalah sembelit dalam kalangan kanak-kanak, beri mereka makanan yang kaya dengan serat seperti sayuran, buah-buahan, bijirin dan roti wholemeal dan galakkan mereka minum banyak air supaya najis menjadi lembut dan mudah dikeluarkan.
Menurut Perunding Pakar Diet, Indra Balaratnam, bagaimanapun bukan semua makanan bernutrisi adalah sama. Ada yang lebih sukar dihadam kerana kaedah pemprosesan yang menggunakan haba yang terlalu panas atau tinggi.
“Tahap haba yang digunakan dalam pemprosesan makanan juga boleh menjejaskan keupayaan penghadaman. Makanan yang dimasak pada suhu yang betul adalah lebih mudah untuk dihadam. Ini boleh diguna pakai untuk susu tepung rumusan juga.
“Susu rumusan biasanya diproses dengan haba yang tinggi lalu merosakkan struktur asal nutrien. Nutrien yang rosak tidak mudah diserap oleh usus kanak-kanak. Lebih buruk lagi, ia boleh menyebabkan masalah pencernaan dan perut rasa tidak selesa seperti sakit perut, sembelit atau najis yang keras,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog masalah penghadaman kanak-kanak bersama dua ibu selebriti, Liyana Jasmay dan Wayne Chua. Turut menjadi panel, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ashlee Ng.
Indra berkata, kanak-kanak yang mempunyai masalah penghadaman juga mudah rasa gelisah, tidak berminat untuk bermain dan kurang selera makan. Kanak-kanak kecil mungkin kerap menangis kerana ketidakselesaan dan kemungkinan tidak dapat belajar atau berinteraksi dengan baik.
“Oleh itu, adalah penting masalah penghadaman seperti sembelit ini dikesan awal bagi mengelakkan ia berlanjutan dan menjadi kronik. Ibu bapa juga boleh mendapatkan nasihat pakar bagaimana menyediakan makanan yang bersesuaian untuk anak-anak supaya tidak mudah mendapat sembelit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Saw Chooi Lee berkata, bagi memastikan si manja boleh mencerna makanan seperti susu dan menyerap kandungan nutrien dengan mudah, susu rumusan jenama Friso Gold menambah baik formulasinya dengan teknologi LocNutri.
“LocNutri adalah satu inovasi pengeluaran yang memastikan nutrien dalam susu tidak terlalu panas waktu pemprosesan. Oleh itu, nutrisi dipelihara dalam struktur semula jadinya yang mudah dihadam menerusi teknologi pemprosesan yang canggih.
“Kami memahami bahawa nutrien dalam susu adalah penting untuk pertumbuhan si manja. Nutrien susu bukan sahaja membantu otot, kulit, tulang dan tisu, tetapi juga berfungsi meningkatkan daya tahan badan terhadap penyakit.
“Teknologi LocNutri memproses susu dengan rawatan haba yang sederhana. Cara ini dapat memelihara struktur asli nutrien, agar mudah dihadam dan membantu si manja menjadi lebih kuat dari dalam,” katanya.

No comments: