Saturday, November 5, 2016

URUS BERAT BADAN SECARA BERPUASA

Ketika berpuasa, kadar metabolisme individu menurun dan mekanisme pengawalaturan yang lain mula berfungsi. Secara amnya, berpuasa digunakan dalam bidang kesihatan untuk pengurusan berat badan, pengurangan lemak darah dengan merehatkan saluran pencernaan.

Secara tidak langsung berpuasa membuatkan tubuh badan lebih sihat dan segar. Berpuasa juga adalah saranan ideal untuk rawatan penyakit diabetes jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin), obesiti dan hipertensi essential yang sederhana dan stabil.
Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Sri Kota, Michelle Low berkata, perubahan yang berlaku dalam badan ketika berpuasa bergantung pada tempoh puasa yang berterusan.
“Sumber utama tenaga sewaktu berpuasa adalah glukosa yang disimpan dalam hati dan otot. Apabila kehabisan glukosa, lemak akan diguna sebagai sumber tenaga.
“Fisiologi puasa adalah peralihan progresif dari menggunakan glukosa ke lemak sebagai sumber tenaga ketika berpuasa dan bagi menambah tenaga ketika makan (berbuka puasa) serta sahur.

“Metabolisme tidak terjejas selagi dua hidangan utama diambil pada masa sepatutnya dan kuantiti secukupnya. Bagaimanapun, tanpa makanan yang seimbang serta nutrien yang mencukupi, metabolisme menjadi perlahan untuk memelihara tisu badan dan menyimpan lemak,” katanya kepada Metro Ahad.
Menurut Michelle, sepanjang Ramadan, umat Islam makan dua kali sehari iaitu ketika sahur dan berbuka. Plan diet anda boleh menjadi penting untuk memastikan kedua-dua makanan adalah mencukupi bagi membekalkan tenaga sepanjang berpuasa.
“Memasak sendiri adalah yang terbaik kerana dengan cara itu, kita dapat memantau bahan serta kaedah penyediaan makan bagi memastikan ia sajian yang seimbang dan sihat.
“Bagi mereka yang berpuasa, adalah penting untuk pertimbangkan makanan yang diambil ketika tidak berpuasa. Jenis dan kuantiti makanan adalah penting untuk memastikan seseorang itu sihat dan aktif sepanjang bulan Ramadan.
“Diet seharusnya mudah dan tidak banyak beza daripada diet biasa. Satu hidangan yang seimbang patut mengandungi makanan daripada semua kumpulan makanan iatu bijirin, sayur-sayuran, produk tenusu, buah-buahan dan daging,” katanya.
Beliau berkata, minuman berkafein seperti teh dan kopi harus dielakkan atau dikurangkan kerana ia adalah diuretik dan akan merangsang kehilangan air lebih cepat melalui sistem perkumuhan.
Minuman bergas pula sarat dengan gula dan boleh menyebabkan dehidrasi kerana badan cuba untuk melupuskan jumlah gula yang tinggi dalam darah melalui air kencing, yang pada masa yang sama ‘membuang air’.
Oleh itu, jika anda minum minuman ringan yang mengandungi kafein untuk menghilangkan dahaga, anda sebenarnya menjadi lebih dahaga.
“Badan akan kehilangan cecair melalui kencing, membuang air besar, peluh dan juga bernafas. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan penghidratan yang mencukupi ketika berpuasa.
“Pastikan minum lebih kurang dua gelas air selepas makan. Padah penghidratan yang tidak mencukupi adalah dehidrasi dan electrolyte ketidakseimbangan, yang mana anda boleh mengalami perasaan kurang sihat, pening, kekeliruan, lesu atau tidak sedarkan diri.
“Jika anda mengalami pening atau berada dalam keadaan kekeliruan, anda perlu segera rehidrat, sebaik-baiknya dengan rehidrasi oral (ORS),” katanya.

No comments: