Saturday, April 13, 2013

KESAN PENGAMBILAN HORMON ESTROGEN

Saya memiliki bentuk badan kurang menarik dan terlalu kurus. Saya teringin untuk memiliki bentuk badan yang cantik dan mengiurkan. Rakan saya mencadangkan penggunaan pil hormon estrogen untuk membentuk payu dara dan punggung yang lebih menawan. Adakah pengambilan pil hormon ini memberi kesan sampingan?

Jawapan: 

Sememangnya satu hakikat apabila semua wanita mengidamkan bentuk badan yang cantik terutama pada bahagian payu dara dan punggung yang montok. Bagaimanapun, bukan semua wanita berupaya mempunyai badan yang mengiurkan seperti yang diidamkan, termasuklah saudari. 

Faktor genetik memainkan peranan yang penting. Jika puan datang dari keturunan bertubuh kecil dan kurus seperti mana emak atau adik beradik yang lain, maka sukar untuk memiliki badan yang diimpikan.

Bagi mendapatkan badan yang cantik, jika seorang yang kurus seperti saudari, saya syorkan cuba tambahkan berat badan dengan melebihkan makanan hingga ke tahap indeks atau Berat Jisim Tubuh (BMI) yang ideal. BMI yang kurang dari 18 adalah terlalu kurus dan melebihi 30 pula dikategorikan sebagai obesiti atau terlalu gemuk. 


Pengambilan hormon estrogen akan menyebabkan payu dara membengkak dan tegang selain boleh meningkatkan selera makan. Namun, ia mungkin tidak berkekalan. Kesannya hilang selepas saudari berhenti mengambil hormon. 

Dari segi perubatan, adalah dilarang sama sekali mengambil hormon estrogen saja tanpa ditambah dengan hormon progesterone. Hormon estrogen saja jika diambil dalam masa panjang boleh menyebabkan barah rahim, ovari, payu dara dan pintu rahim. 

Oleh itu kami (doktor pakar perbidanan) selalunya memberi hormon estrogen dalam bentuk kombinasi bersama hormon progesterone seperti pil perancang keluarga dan hormon gantian untuk wanita menopaus. Sebarang pengambilan hormon memerlukan pemantauan yang rapi setiap tahun seperti ujian darah, mamogram dan pap smear serta dengan imbasan pelvis. 

Kesan sampingan lain ialah peningkatan risiko batu karang dalam hempedu antara dua hingga tiga kali ganda, perdarahan tidak menentu pada rahim, pembekuan darah pada betis kaki dan pelvis yang menyebabkan masalah seperti embolisma paru-paru, barah hati, darah tinggi, kencing manis dan menggalakkan pertumbuhan fibroid dan endometriosis. 

Selain itu, kesan sampingan kecil seperti pengumpulan air dalam tubuh, payu dara bengkak dan sakit, loya, muntah, perubahan mood dan perut ‘bengkak’. Itu bagaimanapun hanya sebahagian saja ada banyak lagi kesan-kesan sampingan yang lain. 

Kesimpulannya, saudari tidak perlu mengambil hormon estrogen untuk mendapatkan badan yang cantik. Jika perlu mengambilnya, gunakan pil perancang keluarga sebagai alternatif terutama sekali jika puan gunakan pil ini sebagai satu cara cegah kehamilan

Jawapan disediakan oleh:
Dr Suhaimi Isa,
Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Pantai Ampang.

1 comment:

Anonymous said...

assalam.. sy nk tanya ..bagaimana pula dengan produk kecantikan seperti Thanyaporn? adakah kesannya juga sama seperti yg dijelaskan di atas?